needmorethanthis

Sunday, April 29, 2012

#20 kanser ditakuti lelaki

BIASANYA kita sering dipaparkan mengenai kanser yang dikaitkan dengan perempuan, misalnya serviks dan payudara. Begitupun, golongan lelaki jangan terlalu berlapang dada kerana mereka juga berisiko menghidap kanser paling ditakuti iaitu prostat. Tahukah anda, kanser prostat adalah kanser ketiga paling ditakuti lelaki di seluruh dunia? Pada 2008 saja, 900,000 kes dilaporkan dan ia dijangka meningkat kepada 1.7 juta kes menjelang 2030. Perunding Klinikal Onkologi, Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Wahid, berkata kanser prostat berlaku apabila sel tumbuh dan berpecah tanpa kawalan. Ada kala sel berkenaan merebak dan menyebabkan kanser di bahagian lain pula. “Ramai masih mengambil ringan mengenainya kerana berpendapat, jika sakit baru berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Tidak kurang juga yang menganggap ia hanya menyerang lelaki berusia. “Sebenarnya, andaian itu salah kerana kanser prostat menyerang lelaki tanpa mengira usia. Tidak kurang juga ada yang tunggu ‘rasa sakit’ baru berjumpa doktor, sedangkan pemeriksaan awal mampu menyelamatkan nyawa,” katanya ketika melancarkan Jevtana (cabazitaxel) di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. Menurutnya, kanser prostat merebak melalui empat tahap. Ia dikenal pasti di segi saiz tumor, sama ada nod limfa dijangkiti atau tumor berkenaan merebak ke bahagian lain. “Tahap pertama kanser adalah kecil dan terletak di bahagian dalam kelenjar prostat dan tiada simptom apabila pemeriksaan rektal dijalankan. “Pada tahap kedua pula, kanser masih dalam kelenjar prostat tetapi rasa bengkak boleh dirasai apabila pemeriksaan rektal dijalankan. “Pada tahap ketiga, kanser pecah menembusi selaput prostat dan kemungkinan besar merebak ke bahagian seminal dan pada tahap keempat, ia merebak ke pelvis (tulang pinggul), nod limfa atau bahagian lain seperti tulang, hati atau paru-paru,” katanya. Pun begitu, ada rawatan bagi lelaki yang menghidap kanser prostat peringkat metastatik atau barah yang merebak, antaranya terapi hormon, imun terapi, kimoterapi dan radioterapi. Perunding Klinik Onkologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Marniza Saad, pula berkata meskipun negara Asia mempunyai bilangan lebih rendah berbanding Eropah, tidak bermakna golongan lelaki di negara ini boleh berpeluk tubuh. “Sesiapa saja boleh menghidap penyakit ini. Paling penting, perlu sentiasa menjaga kesihatan dan melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh'' katanya.
Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD hidayatulakmal@hmetro.com.my

2 comments: